Wednesday, 13 July 2011

Tanggungjawab Menerangkan Islam Kepada Orang Bukan Islam (Bahagian: 1)

Segala puji-pujian bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W, ahli-ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Hal ini terbahagi kepada dua. Pertama, memberi gambaran yang jelas tentang Islam, dan kedua, tanggungjawab terhadap Islam apabila menjadi seseorang Muslim. Perkara pertama ialah menerangkan tentang dasar Islam. Tiada siapa yang dapat mendirikan banggunan atau apa sahaja binaan tanpa dasar dan asas. Besar dan tinggi struktur binaan itu bergantung kepada kekuatan dasarnya. (9:109) "Maka adakah orang membangunkan masjid yang didirikan di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredhaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikan di tepi jurang yang (hampir) runtuh". Maka kita perlu menerangkan apa itu Islam sebelum menerangkan Iman.

Kita perlu membebaskan minda mereka supaya mereka dapat memahami Islam dengan terang dan nyata. Sesiapa pun yang akan bertanya tentang Islam, kita perlu merangkan kepada mereka agar tidak menerima apa jua perkara daripada agama tanpa sebarang dalil. Perkara ini perlu dibentangkan sebelum kita memberitahu tentang solat, puasa dan amalan-amalan yang lain. Bagaimana mereka hendak menerima sesuatu amalan sedangkan mereka tidak tahu sumber dan bukti ajaran tersebut. Terdapat beberapa peraturan untuk perkara ini. Peraturan pertama ialah, Islam terbina berlandaskan dalil dan bukti. Seperti ilmu duniawi lain yang memerlukan tujuan, eksperimen, radas, hipotesis, radas, prosedur,  keputusan pembuktian dan kesimpulan. Peraturan kedua, kita tidak boleh menyembah Allah S.W.T dengan tanpa usul periksa dan mengambil ajaran dari sesiapa sahaja kerana Islam itu tertegak dengan dalil dan bukan dengan amalan turun-temurun ataupun amalan warisan.

Perkara ini dibuktikan di dalam Hadith Sahih tentang Dhimam. Dhimam ialah seseorang yang hanya menerima sesuatu perkara dengan berlandaskan dalil dan hanya menerima dalil daripada Rasulullah S.A.W di zaman baginda. Para sahabat memberitahu Dhimam bahawasanya "Allah S.W.T adalah pencipta langit dan bumi, gunung dan sungai. Dhimam mengetahui bahawa Nabi Muhammad S.A.W di dalam riwayatnya tidak pernah berbohong, namum dia tetap meminta baginda bersumpah oleh kerana agama adalah satu perkara yang amat serius. Akhirnya, dengan dalil-dalil yang disampaikan, Dhimam menerima Islam dan meninggalkan agama lamanya kerana dalil-dalil di pihak Islam lebih kuat dan terbukti kebenarannya. Jika seseorang meminta anda mengikutinya tanpa sebarang dalil dan mendakwa dia adalah dipihak yang benar, katakan kepadanya tiada apa yang dapat membantuku di hadapan Allah S.W.T melainkan perkara yang berdalil kerana Allah S.W.T berfirman : (27:64) Katakanlah (Wahai Muhammad) "Bawalah kemari keterangan-keterangan kamu, jika kamu orang-orang yang benar." Islam adalah agama yang berlandaskan ilmu dan dalil. Islam bukan agama yang berlandaskan ilusi, perkara karut-marut, lagenda, khayalan, amalan warisan dan mistik.

No comments:

Post a Comment